Sabtu, 01 Maret 2014
Diminta Ubah Sikap Pentingkan Kebersihan

KUALA LUMPUR – Warga kota diminta mengubah sikap mereka supaya lebih menitikberatkan aspek kebersihan bagi memulihkan imej Kuala Lumpur yang digambarkan sebagai sebuah bandar raya kotor baru-baru ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sikap suka membuang sampah merata-rata serta mementingkan diri itu perlu diubah kerana sebagai ibu negara, Kuala Lumpur sepatutnya menjadi contoh kepada bandar-bandar lain di Malaysia.
“Warga Kuala Lumpur perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menjaga kebersihan ibu negara. Tiada gunanya kerajaan menyediakan kemudahan kelas pertama jika ia tidak digunakan dengan betul.
“Masih ramai lagi (penduduk) yang mempunyai pemikiran kelas tiga,” katanya semasa merasmikan Kempen Kebersihan Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Tengku Adnan juga meminta pengguna supaya tidak mengunjungi premis makanan kotor sebagai langkah mendidik peniaga supaya menjaga kebersihan.
Kempen Kebersihan Wilayah Persekutuan merupakan sebahagian daripada inisiatif program Pasukan Petugas Kebersihan dengan objektif untuk mendidik sikap mementingkan kebersihan kepada semua warga Wilayah Persekutuan.
Kempen itu disertai pegawai dan anggota DBKL serta Alam Flora Sdn Bhd serta anggota Persatuan Penjaja Kecil Masjid India, Persatuan Penjaja Kecil Lorong Tuanku Abdul Rahman serta para pekerja syarikat-syarikat di sekitar kawasan Masjid India.
Antara aktiviti lain yang dijalankan di bawah program itu ialah Kempen Pembasmian Tikus dan pemeriksaan ke premis perniagaan makanan termasuk penutupan Pasar Chow Kit bagi kerja-kerja pembersihan pada 12 dan 13 November lepas.
Kempen yang bermatlamat memupuk budaya kebersihan secara sistematik itu turut mengadakan sesi bertemu dengan penjaja, peniaga dan penduduk untuk menggalakkan penyertaan warga Kuala Lumpur dalam setiap kempen kebersihan yang dijalankan.
Kempen itu juga sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014, yang dijangka menarik 28 juta pelancong mengunjungi Malaysia. – BERNAMA
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar